Thursday, October 17, 2013

"Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara semesta alam.” 

Alhamdulillah adalah perasaan kesyukuran yang melimpah pada hati mukmin sebaik sahaja ia teringat kepada Allah, kerana kewujudan dirinya dari mula lagi adalah dari limpah nikmat kurniaan Ilahi yang membangkitkan kesyukuran, pujian dan sanjungan, malah di setiap kelip mata dan detik waktu, dan di setiap langkah Allah melimpahkan nikmat dan rahmat-Nya ke atas seluruh makhluk-Nya terutama manusia, kerana itu mengucap Alhamdulillah di awal dan di akhir merupakan salah satu dari dasar-dasar kefahaman Islam secara langsung. 

Firman Allah: 

"Dan Dialah Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Dia, terpulang kepada-Nya seluruh kepujian di awal dan di akhir."

Surah Al-Qasas: 70

Namun demikian, kemurahan dan limpah kurnia Allah ke atas hambahamba-Nya yang mu'min itu adalah sampai ke tahap setinggi-tingginya apabila hamba itu berkata: "Alhamdulillah", maka Allah akan tuliskan untuknya satu balasan kebaikan yang mengatasi segala timbangan neraca yang lain. 

Tersebut dalam Sunan Ibn Majah dari Ibn Umar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah menceritakan kepada mereka; iaitu ada seorang hamba Allah mengucap kepujian dengan kata: (Ya rabbi lakalhamdu kama yam baghi li jala li wajhika wa 'azi mi sulto nik) "Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepada-Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu." 

Ucapan ini telah menyulitkan dua Malaikat pencatat amalan, keduaduanya tidak tahu bagaimana hendak menulis pahalanya lalu kedua-dua Malaikat itu menghadap Allah dan berkata kepada-Nya: "Ada seorang hamba mengucapkan pujian yang kami tidak mengetahui bagaimana hendak menulis balasannya?" Firman Allah: (Sedangkan Dia lebih mengetahui apa yang telah diucapkan hamba-Nya itu) "Apakah pujian yang telah diucapkan oleh hamba Ku itu?" Jawab kedua-dua Malaikat itu dia berkata: "Wahai Tuhanku segala kepujian itu terpulang kepada Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu." Firman Allah kepada kedua-duanya: "Tulislah ucapan itu sebagaimana yang diucapkan oleh hamba Ku sehingga ia menemui Aku dan Akulah sendiri akan membalaskannya." 

Menghadap Allah dengan mengemukakan sanjungan dan kepujian menggambarkan perasaan mu'min yang terharu sebaik sahaja ia teringat kepada Allah sebagaimana telah kami terangkan sebelum ini. 

Adapun bahagian akhir ayat: 2. "... Tuhan yang memelihara semesta 'alam," adalah menjadi dasar kefahaman atau kepercayaan Islam kerana sifat Rububiyah yang mutlak dan menyeluruh itu merupakan salah satu daripada dasar-dasar 'aqidah Islam. 

Kata-kata "Rabb" bererti pemelihara, penguasa, pentadbir dan pengurus yang memelihara urusan islah dan kerja-kerja tarbiyah dan pengasuhan terhadap seluruh makhluk-Nya. Allah tidak menciptakan 'alam kemudian membiarkannya begitu sahaja, malah Dia memperelok, menjaga, memelihara dan mengasuhnya, kerana itu hubungan di antara Allah dengan makhluk sentiasa berterusan pada setiap waktu dan keadaan. 

Konsep Rububiyah Allah yang mutlak terhadap seluruh makhluk-Nya merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di antara 'aqidah tauhid yang jelas dan sempurna dengan 'aqidah yang kabur yang terjadi akibat dari ketidakjelasan dan ketidaktegasan hakikat tauhid ini. Ramai manusia yang mengakui Allah sebagai Tuhan Pencipta 'alam, tetapi di samping itu mereka mempercayai berbagai-bagai tuhan yang lain yang menguasai kehidupan mereka. 

Kepercayaan yang seperti ini nampak jelas anih dan lucu, tetapi itulah yang telah berlaku dan sedang berlaku. Al-Qur'an telah menceritakan tentang perkataan sekumpulan kaum Musyrikin yang menyembah bermacam-macam tuhan itu.
Categories:

0 comments:

Post a Comment